Assalamualaikum www dan salam sejahtera
11 Ogos lalu, Kerajaan Negeri Sabah dibawah GRS membenarkan walk-in di PPV seluruh negeri dan ia terbuka kepada semua pihak termasuk bukan warga negara (BKN).
Pertama, saya menyokong proses vaksinasi di negeri ini. Malah menerusi beberapa penulisan sebelum ini, saya sering menggesa proses vaksinasi dan menyifatkan Sabah agak ketinggalan berbanding jiran kita, Wilayah Sarawak.
Namun, bersediakah kita terhadap proses walk-in ini? Umum mengetahui kekangan liputan internet di kebanyakan tempat di Sabah menyukarkan proses pendaftaran menerusi MySejahtera. Tetapi apa yang berlaku sejak Ahad lalu, saya melihat PPV menjadi kucar-kacir.
PPV Dewan Masyarakat Tawau misalnya, berlaku pelanggaran SOP yang jelas, khususnya membabitkan penjarakan fizikal. Malah beberapa daerah lain termasuk Lahad Datu, Kota Kinabalu, Sandakan dan Keningau turut berlaku situasi sama.
Adakah dalam tempoh seminggu dua lagi, kita akan mendengar kluster PPV pula? Kesesakan yang berlaku di PPV beberapa hari kebelakangan ini boleh menjadikan PPV berisiko untuk penyebaran COVID-19.
Seperti kenyataan Naib Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Junz Wong, GRS seharusnya memikirkan semula keputusan kebenaran walk-in tersebut.
Kekurangan petugas kesihatan, petugas barisan hadapan seolah-olah dipinggirkan.
Semalam saja, lebih 2,000 kes positif COVID-19 baharu di Sabah. Adakah ketika kes tengah meningkat ini, GRS mengambil pendekatan sedemikian?
Mungkin kaedah walk-in sesuai dipraktikkan untuk PPV tertentu khususnya kawasan yang jauh di pedalaman kerana ia memerlukan SOP berasingan dan dalam keadaan terkawal, bukan semua PPV sesuai.
Jangan jadikan PPV di Sabah sebagai bom jangka untuk COVID-19 meledak di Sabah.
YB RINA JAINAL
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI N70 KUKUSAN
Hubungi CARELINE saya di 016-8034767 / 014-3009517 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.
“Kamu Adu, Kami Bantu”
“You Report, We Support”
您报告我们支持