Ucapan ADUN N70 Kukusan Sempena Sidang DUN Sabah

ASSALAMUALAIKUM WBT DAN SALAM UNITY

TERIMA KASIH TUAN SPEAKER.

SYUKUR ALHAMDULILLAH KITA DIBERI KESEMPATAN LAGI UNTUK BERSAMA DI DALAM DEWAN YANG MULIA INI. DEWAN YANG MENGANGKAT SUARA RAKYAT SABAH UNTUK DIDENGAR KELUHAN MEREKA MELALUI KITA PARA WAKIL RAKYAT SEKALIAN.

MAKA PELUANG INI INGIN SAYA MANFAATKAN MEMBAWA BEBERAPA PERKARA UNTUK PENGETAHUAN DAN TINDAKAN KERAJAAN NEGERI DALAM SIDANG DUN KALI INI.

TERDAHULU, SAYA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH ATAS UCAPAN DASAR TUAN YANG TERUTAMA YANG DISAMPAIKAN PADA PEMBUKAAN SIDANG 16 MAC LALU.

SECARA KESELURUHAN ISU-ISU YANG AKAN DIKEMUKAKAN ADALAH BERLANDASKAN KEPERLUAN, KEHENDAK DAN KEBAJIKAN RAKYAT.

PERTAMA
SISTEM PENGHAWA DINGIN DI PERPUSTAKAAN WILAYAH TAWAU

SEJAK MULA SAYA BAWA ISU KETIADAAN SISTEM PENGHAWA DINGIN/PENGUDARAAN DI PERPUSTAKAAN INI PADA DISEMBER LALU, SAYA DIFAHAMKAN PIHAK BERKAITAN TELAH TURUN PADANG MENINJAU MASALAH TERSEBUT. TERIMA KASIH DIUCAPKAN KERANA MEMBERI MAKLUM BALAS TERHADAP ADUAN YANG DISAMPAIKAN.

BAGAIMANAPUN, SAYA DIFAHAMKAN TERDAPAT CADANGAN DARIPADA PIHAK YANG MELAWAT UNTUK MELETAKAN SISTEM PENGHAWA DINGIN (AIRCOND) BOLEH UBAH SEBAGAI LANGKAH SEMENTARA, SEMENTARA MENUNGGU KERJA BAIK PULIH SISTEM PENGUDARAAN UTAMA DILAKUKAN.

PERSOALANNYA, BERAPA BANYAK PULA AIRCOND MUDAH ALIH INI HENDAK DIGUNAKAN BERSERTA KOSNYA?

JIKA IA DIGUNAKAN, BERAPA LAMA PULA TEMPOH UNTUK MELAKUKAN KERJA BAIK PULIH SISTEM PENGUDARAAN UTAMA DI PERPUSTAKAAN BERKENAAN? SAYA PASTI IA AKAN MENGAMBIL MASA YANG LAMA KERANA AGAK MUSTAHIL MEMBELANJAKAN PULUHAN RIBU ATAU MUNGKIN JUGA MENCECAH RATUSAN RIBU UNTUK AIRCOND MUDAH ALIH TETAPI HANYA DIGUNAKAN BEBERAPA BULAN SAHAJA? SAYA BERHARAP KEMENTERIAN MEMBERI PERUNTUKAN SEWAJARNYA UNTUK KERJA BAIK PULIH BERKENAAN KERANA MASALAH INI SUDAH BERLANJUTAN LEBIH DUA TAHUN.

IA BUKAN SAHAJA MEMBERI IMPAK KETIDAK SELESAAN KEPADA PENGGUNA DAN KAKITANGAN BERTUGAS, TETAPI MENDATANGKAN KERUGIAN LEBIH BESAR APABILA BOLEH MENJEJASKAN KUALITI ASET DALAM PERPUSTAKAAN BERKENAAN KHUSUSNYA BUKU-BUKU YANG ADA.

KEDUA
ISU JALAN KEROSAKAN JALAN RAYA UTARA BAHARU

ISU KEROSAKAN JALAN RAYA DI SABAH BUKANLAH SATU PERKARA ASING BAGI RAKYAT DI NEGERI INI KERANA KAMI SUDAH MENGALAMINYA SEJAK PULUHAN TAHUN LALU.

APABILA YANG BERHORMAT MENTERI MEMINTA RAKYAT BERSABAR UNTUK TEMPOH DUA TAHUN SETENGAH, MUNGKIN BELIAU MAMPU UNTUK MENGGANTI TAYAR KENDERAAN-KENDERAANNYA YANG PECAH BERDASARKAN SUMBER PENDAPATAN BULANAN TETAP YANG TINGGI.

NAMUN, SITUASI SEBALIKNYA KEPADA RAKYAT…….. ADA YANG KAIS PAGI MAKAN PAGI, KAIS PETANG BELUM TENTU DAPAT MAKAN.

BARU-BARU INI SAYA BERADA DI JOHOR, SEPANJANG BERADA DI SANA, NEGERI YANG JUGA LAMA DIPERINTAH ATAU DIKUASAI BN SAMA SEPERTI SABAH. NAMUN, PEMBANGUNAN DI SANA TERMASUK JALAN RAYA YANG ADA, SANGAT BAIK. SUSAH UNTUK CARI JALAN RAYA YANG ROSAK DI SANA, PERJALANAN PUN RASA SELAMAT SERTA SELESA.

SABAH JUGA LAMA DIPERINTAH BN, USAHKAN JALAN KAMPUNG ATAU LUAR BANDAR SEPERTI LALUAN BULAN DARI SANDAKAN KE RANAU, ATAU LALUAN KOMANDO DARI TAWAU KE SAPULUT, JALAN BANDAR SEPERTI JALAN UTARA BAHARU DI MUKIM KUKUSAN JUGA TERUK DENGAN LUBANG DAN GELOMBANGNYA.

SEPERTI YANG DIKATAKAN ADUN SENALLANG YANG JUGA KETUA PEMBANGKANG, MENGAPA PERLU KITA BERGANTUNG KEPADA PERUNTUKAN KERAJAAN PUSAT UNTUK KEMUDAHAN FASILITI DI SABAH? KERAJAAN NEGERI SEHARUSNYA SUDAH LEBIH BERANI UNTUK BERDIKARI KERANA USIA 59 TAHUN BERSAMA DALAM MEMBENTUK MALAYSIA, SATU TEMPOH YANG LAMA.

TIDAK SALAH JIKA KERAJAAN NEGERI MEMBERI PERUNTUKAN YANG TINGGI SETIAP TAHUN UNTUK KERJA BAIK PULIH JALAN RAYA SEMENTARA MENUNGGU PAN BORNEO SIAP, KERANA KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR INI TURUT MENYUMBANG SEMULA KEPADA PULANGAN EKONOMI NEGERI.

SAYA BERHARAP PELUANG KERAJAAN NEGERI BERSAMA RAKYAT SABAH KE JOHOR SEMASA PRN, BUKAN HANYA DIGUNAKAN UNTUK MERAIH UNDI SEMATA-MATA, SEBALIKNYA MELIHAT BAGAIMANA NEGERI ITU BOLEH MAJU, ADA FASILITI JALAN YANG SANGAT BAIK, DI BAWAH PEMERINTAH DARIPADA PARTI YANG SAMA DI NEGERI KITA.

KETIGA
PEMBANGUNAN SEMULA KAWASAN HILL TOP DAN LAPANGAN TERBANG LAMA DI MUKIM KUKUSAN

MESKIPUN KUKUSAN HANYA MEMPUNYAI POPULASI TIDAK LEBIH DARIPADA 30,000 ORANG, KEPADATAN PENDUDUKNYA MENCECAH 3737 ORANG DGN KELUASAN DUN TERKECIL DI PARLIMEN KALABAKAN, KAMI DI KUKUSAN JUGA MEMERLUKAN PERHATIAN DARIPADA PIHAK KERAJAAN NEGERI.

DUA KAWASAN YANG LUAS IAITU HILLTOP DAN LAPANGAN TERBANG LAMA, SAYANGNYA BERTAHUN-TAHUN DIBIARKAN KOSONG TANPA ADA SEBARANG PEMBANGUNAN DILAKUKAN. SEPERTI YANG SAYA KATAKAN PADA SIDANG DUN YANG LALU, KUKUSAN INI BERPOTENSI SEBAGAI SUB BANDAR KEPADA TAWAU, MALAH MENJADI JALAN PENGHUBUNG KEPADA DAERAH KALABAKAN, SETERUSNYA KEPADA KALIMANTAN TIMUR YANG BAKAL MENJADI IBU NEGARA BAHARU INDONESIA.

INDONESIA KINI SEDANG DALAM FASA MENYEDIAKAN KALIMANTAN TIMUR SEBAGAI PUSAT PENTADBIRAN BAHARU DENGAN MENEMPATKAN PEGAWAI-PEGAWAI KERAJAAN DI SANA. MALAH MEREKA JUGA SUDAH MENJALIN KERJASAMA DENGAN SARAWAK MENYEDIAKAN KEMUDAHAN BEKALAN ELEKTRIK UNTUK DIJUAL KEPADA SABAH.

MENURUT KETUA MENTERI, SABAH BAKAL MENERIMA BEKALAN ELEKTRIK DARI SARAWAK MENJELANG TAHUN DEPAN DENGAN MENGIMPORT 30 MEGAWATT BAGI TEMPOH 15 TAHUN MENERUSI TALIAN TRANSMISI BERKEMBAR SEPANJANG 31 KILOMETER DARI LAWAS, SARAWAK KE MENGALONG SEKALI GUS DAPAT MEMBANTU EKONOMI SERTA MENGATASI MASALAH BEKALAN ELEKTRIK DI SINI.

BAGAIMANAPUN, DIHARAPKAN AGAR KERAJAAN NEGERI JANGAN LUPA MENINGKATKAN PEMANTAUAN TERHADAP HAIWAN LIAR KERANA MENURUT MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI DI PARLIMEN, GANGGUAN HAIWAN LIAR INI MENJADI ANTARA PUNCA BERLAKUNYA GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK DI SABAH. NANTI SIA-SIA KITA IMPORT BEKALAN ELEKTRIK DARI NEGERI JIRAN.

ALANG-ALANG MENYENTUH ISU INI, SAYA BERHARAP KERAJAAN NEGERI DAN SESB BOLEH BERKONGSI STATISTIK MENGENAI GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK DISEBABKAN HAIWAN LIAR KERANA ISU INI ‘RARE’ DAN SANGAT MENARIK PERHATIAN RAKYAT UNTUK MENGETAHUINYA DENGAN LEBIH LANJUT.

SAYA TERUJA APABILA KERAJAAN NEGERI AKHIRNYA MAHU MEMBERI TUMPUAN PEMBANGUNAN DI BANDAR SEMPADAN KHUSUSNYA TAWAU YANG DILIHAT BAKAL MENERIMA IMPAK PEMINDAHAN IBU NEGARA INDONESIA.

SEMOGA PELAN PEMBANGUNAN ITU TURUT MEMBABITKAN DUA KAWASAN TERBIAR DI KUKUSAN IAITU HILLTOP DAN LAPANGAN TERBANG LAMA KERANA IA BERPOTENSI UNTUK DIBANGUNKAN SEBAGAI PUSAT EKONOMI PENDUDUK, PBT DAN NEGERI.

SAYA JUGA INGIN MENYENTUH MENGENAI ISU EKONOMI DI MUKIM KUKUSAN. SEKETIKA DULU DI TENGAH-TENGAH KUKUSAN TERDAPAT SATU TAPAK BESAR MENEMPATKAN PENIAGA-PENIAGA KECIL YANG TERDIRI DARIPADA PENIAGA MAKANAN, TUKANG JAHIT PAKAIAN, BENGKEL DAN PENIAGA-PENIAGA BUNDLE YANG TELAH MEMBINA PERNIAGAAN MEREKA BERTAHUN-TAHUN DI SANA, NAMUN TELAH DIROBOHKAN OLEH PIHAK PBT ATAS FAKTOR PEMBANGUNAN YANG TIDAK SISTEMATIK. BERAPA RAMAI PENIAGA-PENIAGA KECIL INI TERJEJAS PENDAPATANNYA, SUDAH LEBIH DUA TAHUN BERLALU MASIH BELUM ADA TANDA TAPAK INI AKAN DIBUKA SEMULA. SAYA TERTANYA-TANYA APA NASIB IBU TUNGGAL BERANAK KECIL YANG PERNAH MENCARI SESUAP NASI DENGAN MEMBUKA KEDAI JAHIT KECIL DI SANA.

KEEMPAT
SETINGGAN DAN PERMASALAHANNYA.

UMUM MENGETAHUI ISU SETINGGAN TURUT MENIMBULKAN BEBERAPA MASALAH RANTAIAN YANG LAIN SEPERTI JENAYAH, DADAH, MASALAH KESIHATAN, KEBERSIHAN, PENCEMARAN, CURI AIR, PENYAMBUNGAN ELEKTRIK SECARA HARAM DAN SEBAGAI.

JUSTERU, APAKAH PERANCANGAN ATAU PELAN KERAJAAN NEGERI UNTUK MENANGANI MASALAH SETINGGAN DI SABAH?
PEMBINAAN LEBIH BANYAK PROJEK PERUMAHAN RAKYAT (PPR) DAN PROJEK PERUMAHAN RAKYAT TERMISKIN (PPRT) DILIHAT MENJADI ANTARA JALAN MENGATASI MASALAH SETINGGAN.

MENGAMBIL KIRA KES KEBAKARAN DI KAMPUNG KURNIA JAYA, LEBIH 1,000 MANGSA WARGA NEGARA MALAYSIA KEHILANGAN TEMPAT TINGGAL DALAM SEKELIP MATA. MALANGNYA MEREKA HANYA BOLEH MENETAP DI PPS SELAMA TIGA HARI MENGIKUT PROSEDUR YANG DITETAPKAN KERAJAAN DAN MEREKA PERLU MENCARI RUMAH SEMENTARA SENDIRI ATAU PERLU MENUMPANG DI KEDIAMAN AHLI KELUARGA YANG LAIN.

BAGI YANG BERKEMAMPUAN, BOLEHLAH MEREKA MEMBINA SEMULA KEDIAMAN DENGAN SEGERA. NAMUN, SEBAHAGIAN BESAR PENDUDUK SETINGGAN ADALAH GOLONGAN SUSAH, MENYUKARKAN MEREKA BERBUAT DEMIKIAN.

JIKA DI KUALA LUMPUR ATAU SELANGOR, MANGSA KEBAKARAN DI KAWASAN SETINGGAN INI BOLEH DITEMPATKAN DI PPR/PPRT DENGAN KADAR SEGERA, TETAPI TIDAK BAGI MANGSA KEBAKARAN DI KAMPUNG KURNIA JAYA, APABILA TIADA KEKOSONGAN RUMAH PPR/PPRT DI TAWAU.
MALAH MANGSA KEBAKARAN SETINGGAN DI BATU DUA, TAWAU YANG MENGORBANKAN DUA NYAWA MANAKALA TUJUH YANG LAIN CEDERA PADA JANUARI LALU, PUN MASIH BELUM TERBELA SEWAJARNYA.

SAYA DIFAHAMKAN SEBELUM INI ADA PENDUDUK TERPAKSA TINGGAL DI KHEMAH SELEPAS PPS DITUTUP MEMANDANGKAN MEREKA BELUM DAPAT/TIDAK MAMPU BERPINDAH KE TEMPAT LAIN.

JUSTERU, MANGSA KEBAKARAN SEPERTI INI TIDAK MEMPUNYAI BANYAK PILIHAN DAN AKHIRNYA KEMBALI ATAU MEMBINA SEMULA PENEMPATAN SETINGGAN. SETERUSNYA MASALAH SETINGGAN SEPERTI JENAYAH, DADAH, KESIHATAN, PENCEMARAN, CURI ELEKTRIK DAN AIR AKAN BERULANG SEMULA SEBELUM IA TERBAKAR LAGI DAN RAKYAT KEMBALI SUSAH.

DI KAWASAN SAYA, TERDAPAT PENEMPATAN DI SEPANJANG SUNGAI. SABAN TAHUN IA AKAN MENGORBANKAN NYAWA PENDUDUK KAMPUNG TERUTAMANYA KANAK-KANAK. MALANG SEBAGAI WAKIL RAKYAT PEMBANGKANG, PERMOHONAN UNTUK MEMASANG PAGAR KAWASAN SUNGAI TERSEBUT MASIH BELUM MENDAPAT PERHATIAN. BERAPA RAMAI NYAWA LAGI YANG PERLU TERKORBAN SEHINGGA PIHAK KERAJAAN NEGERI MELIHAT KEPERLUAN TERDESAK DI SITU?

BEGITU JUGA DENGAN BEBERAPA PERKAMPUNGAN LAMA YANG TELAH MELAHIRKAN BEBERAPA GENERASI NAMUN SEHINGGA KE HARI INI MASIH TIDAK DIGAZETKAN SEBAGAI PERKAMPUNGAN SEPERTI KG AIRPORT LAMA DAN KG SENTOSA, WALAUPUN STATUS TANAH-TANAH TERSEBUT ADALAH DIMILIKI OLEH KERAJAAN NEGERI. ALASAN YANG DIBERIKAN ADALAH KAMPUNG INI TERLETAK DALAM PELAN PEMBANGUNAN SMART CITY YANG SEHINGGA SEKARANG JUGA TIADA KEPASTIAN ADAKAH PEMBANGUNAN TERSEBUT MASIH DITERUSKAN ATAU TIDAK.

NAMUN YANG PASTI, NASIB PENDUDUK KAMPUNG INI MASIH TIADA PEMBELAAN SEWAJARNYA.

FASILITI DAN KEMUDAHAN YG SEPATUTNYA DISEDIAKAN TERBANTUT BEGITU SAHAJA OLEH KERANA STATUS KAMPUNG YANG MASIH SAMAR-SAMAR. BELIA KAMPUNG TIDAK DAPAT MENJALANKAN AKTIVITI SUKAN DAN RIADAH BAHKAN UNTUK MEMBINA GELANGGANG FUTSAL JUGA TIDAK DAPAT DITERUSKAN KERANA ISU STATUS TANAH TETAP MENJADI PENGHALANG.

KERAJAAN NEGERI BUKANLAH BARU, MALAH MEMPUNYAI PENGALAMAN LAMA DALAM PENTADBIRAN DAN MENGURUSKAN NEGERI BERBANDING SAYA DAN BEBERAPA RAKAN DI BLOK PEMBANGKANG YANG MASIH DI FASA PENGGAL PERTAMA SEBAGAI ADUN.

SAYA BERHARAP KERAJAAN NEGERI TAMPIL DENGAN PELAN DAN PERANCANGAN MENGATASI MASALAH SETINGGAN DI SABAH. MALAH KAMI SEBAGAI ADUN SEDIA MEMBERI KERJASAMA SEWAJARNYA KEPADA PBT/KERAJAAN DALAM MEMBERI INPUT BERKAITAN DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN NEGERI.

AKHIR SEKALI, TERIMA KASIH TUAN SPEAKER MEMBERIKAN SAYA RUANG MEWAKILI SUARA KUKUSAN.
SALAM RAMADAN YANG BAKAL MENJELANG TIBA KEPADA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT, UCAPAN TERISTIMEWA BUAT DATUK SPEAKER, SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT BERIBADAH. SEGALA YANG BAIK DATANGNYA DARIPADA ALLAH SWT, MOHON MAAF SEGALA KEKHILAFAN DAN KEKURANGAN DARIPADA SAYA.

MAJULAH SABAH DEMI RAKYATNYA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2023, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.