


TAWAU, 22 April 2025 – Program Raya Santai anjuran Pusat Khidmat ADUN N70 Kukusan bersama para pengamal media telah berlangsung dalam suasana mesra dan santai di Restoran Paradise Cafe, Fajar, di sini.
Program ini merupakan platform kepada wakil rakyat dan media tempatan untuk bertukar pandangan, berdiskusi serta menyentuh beberapa isu pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan Kukusan.
Dalam ucapannya, YB Datuk Rina Hj Jainal, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah merangkap ADUN Kukusan, mengimbas kembali isu-isu yang sering dibangkitkan sejak beliau menjadi wakil rakyat, termasuk isu setinggan, keselamatan, kesihatan, dan pelancongan.
“Tawau sebagai daerah transit bersempadan dengan Indonesia, terdedah kepada pelbagai ancaman seperti jenayah dan komersial crime. Oleh itu, penting untuk kita melihat Tawau dalam konteks Rancangan Malaysia ke-13 (RMP13), terutamanya dari aspek keselamatan, kesihatan dan pelancongan,” ujar beliau.
Tambah beliau, Sabah kekal sebagai permata negara dari segi landskap pelancongan, namun masih memerlukan fasiliti yang mencukupi untuk menampung kehadiran pelancong yang semakin meningkat.
Menyentuh isu semasa berkenaan perang tarif antara Amerika Syarikat dan China, Rina menjelaskan bahawa negeri Sabah juga tidak terkecuali daripada kesannya, khususnya dalam sektor eksport-import, barangan elektronik, farmaseutikal dan pelancongan.
“Walaupun kesannya tidak terlalu ketara secara langsung, kita tetap perlu bersedia dan berada dalam blok ekonomi yang betul, seperti ASEAN, bagi mendapatkan mitigasi yang sewajarnya,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pembangunan di kawasan Kukusan, beliau memaklumkan bahawa lebih RM1 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja naik taraf jalan konkrit, selain bantuan kepada NGO dan peniaga kecil.
Program perumahan SMJ juga masih giat dilaksanakan, dengan 40 unit rumah sedang dalam perancangan untuk dibina tahun ini. Walau bagaimanapun, terdapat kekangan berkaitan status tanah yang tidak digazetkan serta proses kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Rina turut membangkitkan isu jumlah penduduk miskin berdaftar yang rendah di Kukusan mengikut data e-Kasih, iaitu hanya sekitar 80 orang daripada lebih 30,000 penduduk.
“Saya agak hairan dengan angka ini. Ramai yang layak sebenarnya, tapi disebabkan ahli keluarga bekerja kerajaan atau berpendapatan tetap, mereka tidak menepati syarat kelayakan walaupun hidup susah,” katanya.
Menutup ucapannya, beliau mengakui tempoh perkhidmatannya dalam blok kerajaan masih singkat, namun akan terus berusaha menyalurkan bantuan dan menyelesaikan isu-isu setempat secara berperingkat.
Program Raya Santai ini turut memberi ruang kepada para wartawan untuk mengajukan soalan berkaitan isu politik dan pembangunan, sekali gus memperkukuh hubungan baik antara wakil rakyat dan pengamal media di daerah ini.
Turut hadiri Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N70 Kukusan, Tn. Sukardi Mahsuri.