Picagari Kosong & Tips Menerima Suntikan Vaksin

Assalamualaikum wwwSalam Sejahtera

Beberapa hari ini, saya memerhati isu berkaitan aduan orang ramai yang mendakwa disuntik picagari kosong di negara kita.

Sebanyak 13 laporan polis dibuat di PPV seluruh negara.

Dan agak mengejutkan daripada 13 kes tersebut 1 kes di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah, didapati benar berlaku selepas jururawat mengaku memberikan suntikan kosong akibat keletihan.

Mengambil kira keadaan semasa, dengan situasi pandemik COVID-19 yang telah pun mencecah 15,000 kes positif, faktor keletihan pasukan petugas tidak boleh diketepikan begitu saja.

Namun, apa yang saya ingin sentuh adalah ketelusan pihak kementerian dalam menangani masalah ini. Seharusnya perkara seperti ini tidak boleh berlaku.

Bagi saya, perlu ada penyelarasan prosedur suntikan termasuk menunjukkan dos vaksin, pemberitahuan nama vaksin dan menunjukkan picagari (sebelum/selepas suntikan).

Sebelum ini ada pihak yang mahu merakam gambar semasa suntikan, namun, dilarang oleh petugas kesihatan. Saya faham mungkin ia adalah prosedur yang perlu dipatuhi. Tetapi, ada sesetengah tempat PPV, dibenarkan pula rakaman gambar/video dilakukan.

Kepada orang ramai pula, saya sertakan tips kepada anda semasa menerima suntikan vaksin.

1. Tanya nama vaksin yang akan anda terima kepada petugas semasa pendaftaran DAN petugas yang melakukan suntikan. Ini perlu bagi memastikan anda menerima suntikan vaksin yang betul khususnya membabitkan suntikan dos kedua, serta mengikut kesesuaian tahap alergi anda.

2. Minta petugas yang melakukan suntikan menunjukkan botol vaksin kerana terdapat nama vaksin dicatatkan di situ.

3. Lihat picagari.* Pandang lengan yang disuntik ketika proses suntikan dilakukan. Jika takut, pastikan anda ditunjukkan picagari sebelum dan selepas proses suntikan berlangsung.

4. Sopan dan berhemah. Ini antara elemen paling penting yang mana kita boleh menyapa petugas kesihatan dengan baik dan sopan. Ucapkan terima kasih jika semua proses vaksinasi anda berjalan lancar. Mungkin ia boleh memberi sokongan moral kepada mereka selepas penat bekerja sepanjang PPV dibuka.

YB RINA JAINAL
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI N70 KUKUSAN

Hubungi CARELINE saya di 016-8034767 / 014-3009517 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.

“Kamu Adu, Kami Bantu”
“You Report, We Support”
您报告我们支持

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2023, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.