TAWAU: Bantuan subsidi tiket penerbangan kepada mahasiswa Sabah di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung, Sarawak dan Labuan adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyatnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Haji Jainal berkata, bantuan itu sememangnya dapat meringankan beban mahasiswa bagi menampung harga tiket penerbangan ketika musim perayaan.
Katanya, bantuan itu juga membawa sinar harapan kepada semua keluarga mahasiswa yang mahu meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama anak mereka di kampung halaman.
“Kita sedia maklum kebiasaanya menjelang musim perayaan harga tiket penerbangan terutamanya dari Semenanjung akan naik kerana permintaannya yang ramai.
“Justeru, bantuan subsidi tiket sebanyak RM600 ini memberikan harapan kepada mahasiswa untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, bantuan yang julung kali itu juga menunjukkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor merasai denyut nadi rakyat yang memerlukan.
Katanya, sebagai seorang bekas mahasiswa yang menuntut di Semenanjung juga pernah merasai kepayahan untuk balik berhari raya di kampung halaman kerana kekangan harga tiket.
“Justeru, apabila Ketua Menteri mengumumkan bantuan ini, saya juga dapat merasakan rasa syukur mahasiswa di perantauan untuk balik berhari raya tahun ini.
“Di sini kita dapat lihat hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sememangnya turut memfokuskan kebajikan mahasiswa dan belia di negeri ini,” katanya.
Rina yang juga Setiausaha Menteri Kewangan Sabah berkata, kepimpinan Sabah dibawah Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan Plus sudah berada di landasan yang betul.
“Pembangunan ekonomi Sabah kini berada ditahap yang terbaik, malah kerajaan negeri banyak memperuntukan bantuan kepada rakyatnya,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk bantuan subsidi tiket penerbangan semasa majlis berbuka puasa bersama mahasiswa di Pulau Pinang, pada Isnin lepas.
Hubungi 089-760969 pada waktu pejabat kami 10 pagi – 4 petang untuk pertanyaan.
ATAU,
Whatsapp CARELINE saya di 010 – 779 4767 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.
“Kamu Adu, Kami Bantu”