BISMILLAHHIRAHMANIRAHIM
ASSALAMUALAIKUM WBT DAN SALAM SEJAHTERA.
HARI INI GENAP SEMINGGU SAYA BERHIJRAH DI BAWAH PARTI HARAPAN RAKYAT SABAH (HARAPAN RAKYAT).
SEBELUM SAYA MENJAWAB PELBAGAI PERSOALAN DALAM MINDA ANDA KHUSUSNYA ORANG-ORANG DAN PENGUNDI SAYA DI DUN KUKUSAN ADALAH BAIK JIKA SAYA MULAKAN UCAPAN INI DENGAN PERMOHONAN MAAF.
PERMOHONAN MAAF INI IKHLAS SAYA UCAPKAN KERANA MUNGKIN TIGA PENGUMUMAN MINGGU LALU ADALAH PERKARA YANG PALING ANDA TIDAK MAHU DENGAR DARIPADA SEORANG WAKIL RAKYAT.
SAYA TAHU DAN SEDAR RAMAI AKAN BERBALAH DAN PASTINYA MENYELAR TINDAKAN SAYA YANG DIANGGAP MEMBELAKANGKAN PARTI SELEPAS BERGELAR ADUN.
JUJURNYA, SAYA SENDIRI TIDAK PERNAH MEMBAYANGKAN PERKARA INI AKAN BERLAKU KE ATAS SAYA. MALAH JIKA DILIHAT DALAM KENYATAAN LALU, SAYA SELALU MENITIKBERATKAN ASPEK PENDIRIAN DAN KESETIAAN.
BENAR KATA ORANG MEMANG BANYAK DUGAAN SELEPAS BERGELAR YB. BANYAK PIHAK TELAH TAMPIL ‘MEMANCING’ SAYA UNTUK BERSAMA MEREKA SEJAK HARI PERTAMA BERGELAR ADUN. BAGI SAYA, ITU RENCAH YANG HARUS DIHADAPI DALAM MENGUKUHKAN KUASA APATAH LAGI DALAM SITUASI POLITIK HARI INI.
SEBAGAI ADUN YANG BARU SETAHUN JAGUNG DAN TERUS BERADA DI BLOK PEMBANGKANG, PASTINYA BUKAN LALUAN MUDAH UNTUK SAYA. NAMUN, IA BUKAN JUGA MENJADI MASALAH BESAR YANG PERLU DIRUNSINGKAN KERANA PENGLIBATAN SAYA DALAM KANCAH POLITIK JUGA BERMULA SEBAGAI PEMBANGKANG.
BAGAIMANAPUN, DARIPADA SEHARI KE SEHARI, SAYA MENYEDARI TANGGUNGJAWAB KE ATAS RAKYAT TETAP PERLU MENJADI KEUTAMAAN TIDAK KIRA APA JUGA STATUS SAMA ADA KERAJAAN MAHU PUN PEMBANGKANG.
BIARPUN SAYA SERING TURUN PADANG, BERJUMPA PENDUDUK DI KUKUSAN MALAH SEHINGGA KE PULAU SEBATIK, MEROTAI, KALABAKAN DAN SEBAGAINYA, IA TETAP TERASA KOSONG APABILA BANYAK KEPERLUAN RAKYAT KHUSUSNYA, SUKAR DIPENUHI AKIBAT KEKANGAN YANG ADA.
JAUH DISUDUT HATI TERASA RALAT APABILA MELIHAT PERMOHONAN BANTUAN, PEMBINAAN INFRASTRUKTUR DAN BANYAK LAGI TIDAK DAPAT DILAKUKAN WALAUPUN SUDAH HAMPIR DUA TAHUN SAYA MENDAPAT MANDAT SEBAGAI WAKIL RAKYAT.
PUAS DIUSAHAKAN TERMASUK PERMOHONAN DI AGENSI KERAJAAN DAN KENALAN, TETAP ADA JUGA YANG TERPAKSA ‘DIABAIKAN’ KERANA KEKANGAN YANG ADA.
KEPUTUSAN KELUAR PARTI WARISAN BUKAN SAYA BUAT DALAM SEHARI, SEMINGGU MAHU PUN SEBULAN DUA INI.
BANYAK PERTIMBANGAN MERANGKUMI PELBAGAI ASPEK, PERTUKARAN PENDAPAT, MALAH MEMINTA NASIHAT DARIPADA SUAMI DAN ORANG LAMA WARISAN, RESTU IBU DAN SEBAGAINYA, SAYA LAKUKAN.
INI KERANA KESANNYA BUKAN DIRASAI SAYA SENDIRI SAHAJA. SUDAH TENTU IA TURUT MEMBABITKAN ORANG-ORANG YANG MENYOKONG SAYA KHUSUSNYA DALAM WARISAN KALABAKAN.
NAMUN, SAYA BULATKAN TEKAD DAN BETULKAN NIAT. ADA YANG TERPAKSA DILEPASKAN DEMI KEBAJIKAN RAKYAT.
SELEPAS PUAS MEMBUAT PERTIMBANGAN, SAYA MENETAPKAN BAHAWA ‘SERVICE’ ATAU PERKHIDMATAN KEPADA RAKYAT PERLU DIUTAMAKAN. MALAH, PRESIDEN PARTI WARISAN SENDIRI PERNAH BERKATA, RAKAN SEKUTU TERBAIK BAGI AHLI POLITIK/PARTI ADALAH RAKYAT.
JUSTERU, SAYA MEMILIH UNTUK MENGUTAMAKAN RAKYAT. JIKA ADA YANG MEMBUAT TUDUHAN LIAR KONONNYA SAYA DIBELI, DIBAYAR ATAU DIBERIKAN IMBUHAN, ITU PANDANGAN MEREKA. SAYA TIDAK BOLEH MENUTUP MULUT SEMUA ORANG.
SAYA TELAH MEMBUKTIKAN, SAYA MASUK WARISAN DARIPADA AWAL PERJUANGAN PARTI ITU DI KALABAKAN SEBAGAI PENAJA.
SAYA JUGA MEMBUKTIKAN SAYA TURUT TURUN PADANG, NAIK DARI RUMAH KE RUMAH PENDUDUK SEJAK SEBELUM DIPILIH MENJADI CALON LAGI DEMI BERKEMPEN MEMPERKENALKAN WARISAN DI KALABAKAN.
MALAH SELEPAS DIPILIH MENJADI CALON DAN MENANG, HAMPIR DUA TAHUN SAYA MEMBUKTIKAN TURUN PADANG MEMBERI PERKHIDMATAN KEPADA RAKYAT SEBAGAI ADUN PEMBANGKANG.
JIKA MAHUKAN IMBUHAN SUDAH LAMA SAYA KELUAR WARISAN DAN MENERIMA PELAWAAN DARI PARTI PARTI BESAR SEBELUM INI.
KETIKA INI, KEUTAMAAN SAYA ADALAH MEMBERI PERKHIDMATAN KEPADA RAKYAT TEMPATAN KHUSUSNYA DALAM MEMPERJUANGKAN HAK SABAHAN SAMA ADA TERMAKTUB ATAU TIDAK DALAM MA63.
SAYA MELIHAT HALA TUJU ITU DALAM PARTI HARAPAN RAKYAT, SATU PARTI TEMPATAN YANG JELAS FOKUS MEMPERJUANGKAN HAK SABAHAN/PENDUDUK SETEMPAT.
BERPUSAT DI PANTAI TIMUR SABAH IAITU TAWAU, SUDAH TENTU IA AKAN MEMBANTU SAYA DAN PARTI UNTUK MEMBERI PERKHIDMATAN LEBIH EFISIEN KEPADA PENDUDUK SETEMPAT KHUSUSNYA DI KUKUSAN.
SAYA TIDAK MAHU MEMASANG ANGAN-ANGAN TERLALU BESAR DI LUAR SANA, HAKIKATNYA NASIB SERTA KEPERLUAN RAKYAT SETEMPAT TERLEPAS PANDANG. YANG DIKEJAR TAK DAPAT, YANG DIKENDONG BERCICIRAN.
JUSTERU KEPUTUSAN UNTUK BERSAMA KEPIMPINAN TAN SRI LIEW YUN FAH DALAM PARTI HARAPAN RAKYAT SABAH, ADALAH SATU LANGKAH TERBAIK UNTUK SAYA TERUS FOKUS TERHADAP PERKHIDMATAN KEPADA PENDUDUK SETEMPAT.
SAYA AKAN BUKTIKAN BIAR APA PUN WARNA DAN LOGO BENDERA YANG SAYA KIBARKAN, FOKUS SAYA TETAP SATU IAITU MEMBERI PERKHIDMATAN KEPADA RAKYAT.
SAYA BERHARAP RAKYAT KHUSUSNYA PENDUDUK DI MUKIM KUKUSAN MEMBERI PELUANG DAN RUANG KEPADA SAYA MEMBUKTIKAN KEPUTUSAN BERSAMA PARTI HARAPAN RAKYAT SABAH ADALAH LANGKAH BETUL DALAM MEMBELA NASIB ANDA.
BUAT PRESIDEN PARTI HARAPAN RAKYAT SABAH, TAN SRI LIEW YUN FAH DAN BARISAN KEPIMPINAN YANG ADA, SELAMAT BEKERJASAMA DEMI SABAHAN. SUDAH TENTU SAYA AKAN MEMBERI SEPENUH TENAGA DAN USAHA DALAM MEMBUKTIKAN PARTI INI JUGA MAMPU MEMBELA NASIB RAKYAT.
KEPADA KEPIMPINAN DAN RAKAN SEPERJUANGAN DI WARISAN, TERUSKAN PERJUANGAN ANDA. KITA MUNGKIN BERBEZA PARTI, TAPI TUGAS KITA TETAP SAMA ‘BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT’.
RINA HJ JAINAL
ADUN N70 KUKUSAN
11 Jun 2022
Hubungi 089-760969 pada waktu pejabat kami 10 pagi – 4 petang untuk pertanyaan.
ATAU,
Whatsapp CARELINE saya di 010 – 779 4767 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.
“Kamu Adu, Kami Bantu”
“You Report, We Support”