Mendapat perkongsian video kakak seperjuangan saya, YB Norazlinah Arif, ADUN Kunak mengenai sesi town hall Pendataan Digital Warga Asing Negeri Sabah anjuran GRS.
Beliau sendiri mengakui tiada bezanya pendataan warga asing yang sedang giat dilaksanakan GRS dengan PSS yang diperkenalkan WARISAN ketika memerintah.
Saya masih berpendirian PSS adalah langkah terbaik untuk kita mendatakan warga asing khususnya membabitkan stateless (tanpa negara), kad burung-burung dan IMM13 yang semakin ramai di Sabah.
Bilangan mereka yang semakin bertambah daripada semasa ke semasa sebenarnya boleh mendatangkan kesan negatif dan beban kepada Sabah jika tidak diurus dengan baik.
Bagaimanapun, jika kena dengan pengurusan, mereka boleh menjadi aset Negeri yang turut menyumbang kepada pembangunan Sabah. Misalnya dapat memenuhi keperluan tenaga kerja tanpa kita perlu mengimport tenaga kerja asing dari negara luar.
Umum mengetahui bahawa import tenaga kerja warga asing ini sebenarnya memberi untung atas angin kepada individu-individu tertentu yang menjadi orang tengah menerusi pembayaran komisyen. Hasilnya berlaku lambakan warga asing di negara kita sehingga menyumbang kepada masalah sosial.
Masih ingatkah anda pernah timbul isu Putrajaya mahu membawa masuk 1.5 juta tenaga kerja Bangladesh pada tahun 2015, dan segelintir pemimpin Sabah menolak untuk menerima kehadiran mereka?
https://www.facebook.com/groups/1431186763832429/permalink/1636233013327802/
Di Sabah, kita sudah lama berdepan isu Pati dari Indonesia dan Filipina, termasuk juga warga Pakistan. Ditambah pula dengan Palauh, IMM13 dan pemenang kad burung-burung.
Justeru, semasa pemerintahan WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir dengan idea mewujudkan PSS bagi menguruskan warga asing di Sabah BUKAN UNTUK DIBERI KERAKYATAN SAMA SEPERTI RAKYAT TEMPATAN, tetapi hanya dokumen bagi memudahkan pengurusan mereka termasuk membabitkan akses pekerjaan/membolehkan mereka mencari punca pendapatan sendiri secara sah.
Ia sekali gus membolehkan akses pulangan cukai kepada Negeri seterusnya mengurangkan kadar pengangguran, isu peminta sedekah dan jenayah yang berlaku atas desakan hidup serta ketiadaan sumber pendapatan.
Hari ini GRS turut menggunakan kaedah yang sama dengan PSS dalam menguruskan masalah Pati di Sabah. Sayang sekali waktu terbuang walhal pengurusan ini sudah boleh dimulakan lebih awal, namun kepentingan politik lebih menguasai dari mengambil peduli permasalahan rakyat yang dibelenggu dengan isu ‘stateless’ dan sebagainya.
RINA HJ JAINAL
ADUN N70 KUKUSAN
3 Jun 2022
Hubungi 089-760969 pada waktu pejabat kami 10 pagi – 4 petang untuk pertanyaan.
ATAU,
Whatsapp CARELINE saya di 010 – 779 4767 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.
“Kamu Adu, Kami Bantu”
“You Report, We Support”