Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Baru-baru ini, kecoh media sosial warga Tawau berikutan tangkapan 13 pendatang asing tanpa izin (PTI) di Kampung Batu Payung pada malam sebelum itu.
Turut ditahan 2 lelaki tempatan yang juga pemandu e-hiling diharapkan hendak mengambil PTI tersebut untuk dihantar ke Batu 6 sebelum ada pihak lain yang akan menghantarnya ke lokasi dituju.
Ini realiti yang berlaku. Saya sedar dan amat memahami situasi sosial di Tawau yang mempunyai hubungan akrab malah kekeluargaan dengan negara jiran kita. Malah situasi pergi dan balik ke Nunukan dan sebagainya itu lumrah bagi orang kita sejak dulu lagi.
Dalam masa sama, kemasukan PTI ini juga disebabkan faktor ekonomi yang mana mereka perlu bekerja di sini.
Tetapi, dalam keadaan dunia dilanda pandemik COVID-19 ini, kita tidak boleh menggadaikan keselamatan orang Tawau sendiri. Kemasukan PTI menerusi Jalan tikus membolehkan mereka berpotensi menjadi pembawa virus COVID-19 khususnya varian Delta yang amat dikhuatiri ketika ini.
Lihat saja kes terdahulu, yang mana seorang remaja lelaki tempatan menjadi tekong membawa 5 PTI dari seberang dan ditangkap di perairan Tanjung Batu. Bot mereka terbalik menyebabkan petugas APMM terpaksa menyelamatkan mereka nail ke atas bot.
Namun, apa yang terjadi 3 daripada 5 PTI tersebut positif COVID-19. Secara tidak langsung tekong, dua PTI dan petugas APMM yang menyelamatkan mereka juga berisiko terkena jangkitan.
Mujur 3 yang positif itu berjaya ditahan. Jika mereka sempat masuk ke komuniti setempat? Bagaimana?
Dalam situasi 13 PTI di Batu Payung, kelmarin, tindakan pemandu e-hiling itu tidak sepatutnya berlaku.
Menurut sumber, seorang daripadanya beralamat di Pasir Putih, seorang lagi di Taman Semarak, pergi ke Batu Payung pada malam hari untuk mengambil PTI tersebut.
Mereka terdedah dengan jangkitan, pulang ke rumah di Pasir Putih dan Taman Semarak (atau dimanapun mereka tinggal) mungkin boleh menjangkiti keluarga. Dan akhirnya PKPD di sana.
Kita seharusnya mencontohi penduduk di kawasan Batu Payung, Tinagat dan Membelua yang berusaha menolak pendaratan PTI di kawasan mereka. Perkara ini bukan baharu, sebaliknya giat dilakukan sejak PKPD 1.0 lagi kerana mahu menjaga keselamatan Kesihatan penduduk setempat.
Perkara seperti ini perlu disemai dalam diri kita sebagai rakyat Tawau. Bukan mahu ‘membuang’ keluarga kita di sana, tapi fikirlah kesan jangka masa panjang.
Jangan disebabkan kita bersubahat atau mengambil sikap tutup mata, bisukan mulut, pekakkan telinga dengan isu ini, keluarga kita pula ditidurkan di hospital sebelum diusung ke tanah perkuburan sebagai pesakit COVID-19.
YB RINA JAINAL
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI N70 KUKUSAN
Hubungi CARELINE saya di 016-8034767 / 014-3009517 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.
“Kamu Adu, Kami Bantu”
“You Report, We Support”
您报告我们支持