Dalam banyak kategori netizen, saya di antara yang paling common iaitu jadi CCTV. Baca komen, main perasaan dan buang. Selain dari berusaha membuat konten untuk pengikut-pengikut saya di Tik Tok dan FB.
Cuma apa yang berlaku dengan isu politik kita sekarang, cukup panas sehingga menjadi bahan di Semenanjung dan Sarawak. Apparently, isu rasuah bukan sahaja berlaku di Sabah, malah Sarawak dan Semenanjung juga menjadi isu semasa. Jadi tidak perlulah sensasikan Sabah dengan rasuah seolah-olah tidak berlaku di tempat lain.
Namun dalam komen-komen tersebut masih ada segelintir netizen mempersoalkan isu asal usul orang Sabah, seperti mereka yang bukan dari bangsa aslinya tempatan tidak layak memperjuangkan suara anak Sabah. Masih ada lagi hanya mahu melihat di dalam kotak dan menidakkan perkembangan evolusi populasi yang semakin bercambah.
Saya berbangga melihat seorang anak berdarah India mengaku dirinya anak Sabah kerana di Sabahlah tempat ibu bapanya yang masing-masing berasal dari Perak dan Pulau Pinang bertemu dan menjalin cinta sehingga membina keluarga. Kini adik ini menjadi seorang atlet tenis yang berjaya melanjutkan pelajaran di universiti Amerika Syarikat, namun masih menyimpan niat untuk menjadi pemain Sabah setelah grad nanti.
Begitu juga, saya berdarah Bugis lahir di Sabah. Ibu bapa saya bertemu dan menjalin cinta di Tawau sehingga berkahwin dan membina keluarga besar kami di sini. Sehingga saya bertemu jodoh dengan pasangan saya yang berdarah Sino Kadazan/ Suluk tetap berbangga menjadi anak Sabah yang kaya dengan DNA bermacam bangsa.
Untuk menjadi pemimpin yang boleh menyatukan semua bangsa bukanlah mudah. Expectation itu terlalu tinggi bahkan orang luar juga memperlekehkan kepimpinan kita sehingga menyaksikan parti seberang mendominasi kita berpuluh tahun lamanya. Apabila kita ingin keluar dari belenggu itu bermulalah episod jatuh menjatuhkan.
Setelah Shafie dilemahkan ketika membawa nama Warisan, kini Hajiji pula cuba ditenggelamkan ketika GRS semakin diterima oleh rakyat Sabah. Kita juga mahu dilihat independent seperti Sarawak dan GPS yang terus utuh mentadbir negeri mereka sendiri sehingga mengumpul rezab tertinggi. Jadi kalau bukan kita anak Sabah yang menyokong pemimpin kita siapa lagi yang akan pertahankan.
Pemimpin yang baik bukan saja mampu menyatukan akar umbi, malahan mampu menyatukan pemimpin-pemimpin yang lain. Bukan hanya bermodalkan sentimen rakyat, tapi juga mampu memberi impak dengan kualiti kepimpinannya. Fasih berpidato bukan penentu kemakmuran, paling utama adalah produktiviti kerja diterjemah membawa kesejahteraan rakyat dan keperluan di pucuk pimpinan.
Terus bangkit anak-anak Sabah pertahankan pemimpin kita. Di sini tembuni kita, kita temui jati diri bersama, ini rumah kita, kita baiki bersama!